Pekerjaan dan Kepulihan Dadah
Pekerjaan boleh dianggap sebagai keperluan utama kepada seorang individu dewasa. Tanpa pekerjaan akan menyebabkan seseorang itu tiada sumber pendapatan, dan tanpa sumber pendapatan akan menyebabkan keperluan asas lain tidak dapat dipenuhi antaranya seperti keperluan tempat tinggal, pengangkutan dan makan minum. Bagi mereka yang normal, untuk mendapatkan pekerjaan juga kadangkala sesuatu yang mencabar, malah ianya akan menjadi lebih mencabar sekiranya individu berkenaan sedang dalam proses pemulihan dari kebergantungan kepada dadah.
Seringkali isu pekerjaan dijadikan sebagai punca untuk seseorang itu menggunakan semula dadah dan berhenti dari mengikuti program rawatan dan pemulihan. Alasan yang diberikan seperti, tiada masa untuk hadir mengikuti program yang diaturkan. Kadangkala pekerjaan yang dilakukan juga merupakan pencetus kepada penagihan dadah. Disebabkan oleh hubungan yang kuat antara penagihan dengan pekerjaan tersebut contohnya bekerja di kelab malam yang terdedah dengan dadah dan alkohol, pekerjaan yang memerlukan seseorang berjaga sepanjang malam seperti pemandu lori dan kerja yang memerlukan tenaga yang tinggi serta perlu berjauhan selama beberapa minggu seperti nelayan laut dalam. Pekerjaan tersebut merupakan antara kerja yang kebiasaannya seseorang itu akan mengambil dadah bagi membolehkan mereka melakukan kerja.
Pengalaman penulis sebagai pegawai pemulihan mendapati kebanyakan penagih dadah adalah mereka yang melibatkan diri dengan kerja buruh atau kasar dan juga mereka yang melakukan kerja haram seperti mengedar dadah. Hasil tinjauan yang dilakukan secara rawak mendapati pekerjaan yang dilakukan sememangnya berkait dengan masalah penagihan mereka iaitu sekiranya mereka tidak mengambil dadah maka mereka tidak boleh melakukan pekerjaan tersebut. Dan tinjauan yang dilakukan juga mendapati dari 30 orang penagih, 17 orang akan kembali mencari pekerjaan yang dilakukan setelah mereka dibebaskan dari pusat pemulihan. Risiko untuk seseorang bekas penagih menagih semula sekiranya mereka kembali kepada pekerjaan lama adalah sangat tinggi, malah ianya akan menjadi lebih tinggi sekiranya mereka melakukan kerja yang sama di lokasi atau tempat kerja yang sama sebelum mereka mengikuti rawatan dan pemulihan dadah.
Antara isu atau faktor yang menyebabkan mereka yang dalam kepulihan memilih kerja yang sama adalah disebabkan oleh faktor zon selesa, iaitu mudah untuk mereka melakukan kerja yang telah menjadi kebiasaan dan mereka telah mahir lakukan. Selain itu, disebabkan oleh stigma dan rekod yang buruk juga menyebabkan ramai majikan yang menolak untuk mengambil bekas penagih untuk bekerja. Kelulusan yang rendah juga menyebabkan mereka sukar untuk mencari pekerjaan lain ditambah dengan persaingan dengan pekerja warga asing. Ianya lebih mudah bagi mereka untuk melakukan kerja yang sememangnya mereka telah mempunyai pengalaman dan kepakaran.
Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah ini?
Seseorang yang benar-benar ingin berubah perlu menerapkan dalam diri mereka bahawa kekal bebas dari dadah akan membayar anda lebih dari wang ringgit iaitu hidup yang lebih berkualiti, hubungan dengan keluarga lebih baik selain boleh meningkatkan hubungan dan kecintaan kepada Allah swt. Untuk mencapai apa jua objektif memerlukan pengorbanan dan usaha begitu juga dalam kepulihan dadah. Jangan jadikan pekerjaan itu sebagai alasan, kerana kesenangan itu tidak akan menjamin anda akan lebih bahagia. Kekal pulih walaupun sukar dan memerlukan kerja berat akan menjamin kebahagian yang lebih lama. Terapkan dalam diri bahawa pekerjaan itu adalah satu ibadah serta jauhkan dari pekerjaan yang tidak memberi anda rezeki yang halal, insya Allah anda akan terpelihara dari kembali menagih semula.
Kebiasaannya, mereka yang dalam kepulihan dadah akan terdedah kepada empat situasi melibatkan pekerjaan iaitu;
Pemandu lori dan bas berisiko terlibat dengan penagihan dadah
1. Bekerja dalam bidang yang menyukarkan mereka meingkuti program rawatan dan pemulihan.
Rawatan tidak akan bergerak kecuali anda memberikan usaha 100%. Mereka yang berada dalam kepulihan hendaklah mencari jalan untuk mengimbangkan antara kerja dengan rawatan supaya mereka boleh memberi segala usaha ke arah kepulihan. Sesetengah pekerjaan melibatkan masa yang panjang dan tidak menentu. Menjadi kebiasaan juga apabila kerja menyebabkan masalah penggunaan dadah. Jika anda mempunyai kerja sebegini, sesuaikan jadual anda dengan rawatan. Aturkan perbincangan antara pegawai pemulihan dengan majikan anda atau wakil untuk melakukannya. Kepulihan perlu menjadi perkara utama dalam rawatan.
2. Berkerja dalam bidang yang anda tidak minat, berfikir untuk mecari kerja lain
Semasa kepulihan, perubahan besar sama ada dalam pekerjaan atau dalam perhubungan perlu ditangguhkan untuk 6 bulan ke 1 tahun atau mana-mana yang bersesuaian. Ini adalah kerana;
- Mereka yang dalam kepulihan mengalami perubahan yang besar. Kadangkala mereka merubah pandangan mereka terhadap situasi peribadi.
- Sebarang perubahan memberi tekanan. Tekanan utama perlu dielakkan sebanyak mungkin semasa kepulihan kerana ianya boleh menjadi pencetus kepada seseorang itu menagih kembali.
3. Bekerja dalam situasi dimana sukar untuk kekal pulih
Situasi kerja sebegini perlu dielakkan, perlu untuk anda pertimbangkan untuk berhenti bekerja atau mencari pekerjaan lain. Antara pekerjaann yang dimaksudkan ialah;
- Situasi dimana mereka perlu bekerja dengan mereka yang minum alkohol atau menggunakan dadah seperti di kelab malam, bar dan sebagainya.
- Pekerjaan yang melibatkan jumlah wang yang besar pada masa yang tidak dijangka.
4. Tidak bekerja dan perlu mencari pekerjaan
Apabila seseorang tidak bekerja, rawatan akan menjadi sukar disebabkan alasan berikut;
- Mencari pekerjaan adalah perkara utama
- Masa lapang yang terlalu banyak sukar untuk diisi menyebabkan jadual menjadi tidak teratur untuk membolehkan sesuatu rawatan itu berkesan.
- Sumber pendapatan kurang menyebabkan pengangkutan dan penjagaan anak menjadi satu masalah
Jika anda tiada pekerjaan dan dalam rawatan, ingat bahawa kepulihan masih merupakan sesuatu yang utama. Pastikan kaunselor/ pegawai pemulihan anda tahu situasi anda. Anda perlu berusaha untuk mengimbangi aktiviti mencari kerja dengan rawatan. Tiada jalan mudah bagi menyelesaikan masalah ini. Ianya penting untuk sedar berkaitan isu tersebut supaya anda boleh merancang untuk mengatasinya.
Beriadah dan aktiviti bermasyarakat juga adalah salah satu cara mengekalkan diri dalam kepulihan
(gambar sekadar hiasan)
Comments